Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengambil mudah cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun perkembangan terkini semakin positif dan sokongan rakyat kepada parti kian bertambah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu bekerja keras untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada BN dan menyelesaikan isu-isu berbangkit terutama di kawasan yang memerlukan tumpuan.
“Walaupun sentimen agak bertambah baik, tetapi saya sendiri tidak akan mengambil keputusan bahawa semua sudah baik dan semua sudah bertambah positif kerana kita tahu masih ada kelompok di kawasan tertentu baik Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri).
“Tumpuan lebih harus diberikan untuk membantu rakyat, menyelesaikan isu dan pentingnya kerjasama antara parti komponen dan perpaduan dalam parti adalah pra syarat utama yang harus diberikan,” katanya selepas merasmikan Program Khas Untuk Rakyat (Kesejahteraan Rakyat) peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir di sini hari ini.
Muhyiddin turut mengunjungi dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Yu, Kundang Ulu serta pekarangan Masjid Kampung Paya Redan dalam lawatannya hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) di samping bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, menerusi pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat dapat menilai pelbagai perubahan positif yang telah dibawa kerajaan BN dalam program transformasi kerajaan serta Bajet 2012 yang merangkumi setiap kumpulan masyarakat.
Muhyiddin berkata, biarpun kemampuan kerajaan BN telah berjaya dibuktikan, ahli parti tidak boleh bersikap angkuh kerana landskap politik negara sudah berubah dan harapan rakyat perlu diambil kira untuk menghadapi pilihan raya umum.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan BN berkata, beliau akan turut terlibat dalam merangka formula baru pembahagian kerusi parti komponen BN yang diumumkan Perdana Menteri semalam untuk mencapai matlamat menang-menang bagi semua pihak dalam parti.
“Formula dahulu telah dijayakan matlamatnya, tetapi dalam lingkungan ekosistem politik baru, kita kena nilai dalam konteks terkini. Di sini pengorbanan pemimpin dan ahli-ahli BN untuk mencapai kata sepakat tentang bagaimana formula itu dirumuskan sebelum pilihan raya selesai, diperlukan.
“Begitu juga bagaimana calon yang dikatakan boleh menang, itu juga akan diambil kira sama ada calon itu Melayu, Cina atau India. Tetapi asas perkongsian kuasa dan keadilan pembahagian tidak akan kita korbankan, yang lebih penting adalah kuasa politik BN dan sokongan rakyat harus diambil kira,” katanya.
Muhyiddin berkata, pakatan pembangkang akan tetap membuat pelbagai dakwaan untuk meraih sokongan termasuk menawan Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum akan datang, namun apa yang penting bagi BN adalah bekerja untuk rakyat.
“Dia buat bacaan mengikut sifir dia, kita akan ikut sifir kita, yang penting kita terus kerja dan jangan bersikap terlalu angkuh kerana masih ada banyak yang berlaku di sekitar kita yang akan memberi kesan dan impak kepada pemikiran pengundi,” katanya.
KOMEN : SUDAHKAH JENTERA PILIHANRAYA BN BERSIAPSIAGA UNTUK PRU 13? YANG NAMPAK MACAM SEMAKIN DEKAT TAPI ENTAH BILA MASANYA..ATAU MASIH LAGI ENAK DIULIT MIMPI INDAH YANG MURAM...?