SUDAH menghampiri sebulan, pengganas dari Sulu bertindak kurang ajar menceroboh negeri ini. Tidak cukup dengan itu, pengganas yang kononnya berpegang dengan ajaran Islam itu membunuh pula lapan anggota pasukan keselamatan negara dengan penuh kejam tanpa sebarang perikemanusiaan.
Perlu diakui pada awalnya penduduk Sabah agak gundah-gulana, hidup penuh prasangka terhadap komuniti etnik Suluk di negeri ini, dan wujud persepsi bahawa pasukan keselamatan gagal menangani krisis itu yang dilihat berlanjutan tanpa sebarang penyelesaian konkrit.
Ditambah lagi dengan penyebaran maklumat palsu melalui laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab secara berleluasa, menambahkan lagi kebimbangan penduduk Sabah dan Semenanjung yang mempunyai rakan atau saudara mara yang bertugas di negeri ini.
Sehinggakan apabila tayar kenderaan meletup, nescaya beberapa minit kemudian akan diterima SMS jahat berbunyi Semporna dihujani peluru, anggota keselamatan tumpas, sekeluarga di Kampung Tanduo diserang hendap pengganas.
Itu tidak dikira lagi majlis-majlis kenduri kahwin atau penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia juga akan disusuli dengan SMS atau kemas kini dalam facebook, Etnik Suluk berkumpul untuk menyerang.
Situasi itu dikeruhkan lagi apabila wujud pula politikus yang mengambil kesempatan di atas kesengsaraan pihak lain untuk mendapat publisiti murahan, disebarkan pula bahawa tragedi berdarah di Lahad Datu dan Semporna adalah sandiwara yang bertujuan meraih sokongan rakyat.
Tidak perlu diulas panjang, Naib Presiden PKR, Tian Chua itu dipelawa untuk merasai sendiri pementasan drama di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna bersama-sama dengan pasukan keselamatan negara.
Sekurang-kurangnya dia dapat menjadikan pengalamannya itu sebagai modal baru untuknya berceramah di merata tempat apabila balik dengan selamat.
Penulis percaya banyak pihak di seluruh negara yang prihatin dengan nasib isteri wira negara yang menjadi balu, anak yang menjadi yatim bersedia untuk menanggung segala perbelanjaan pemimpin itu termasuk tambang pergi balik kapal terbang, hotel dan sebagainya. Sebut sahaja apa yang diperlukan, pasti akan ada pihak yang sudi menajanya.
Pada babak kedua episod pencerobohan ini apabila pasukan keselamatan negara melancarkan serangan setelah kumpulan pengganas itu masih berdegil enggan keluar secara aman, fitnah propaganda pembangkang bahawa pimpinan negara gagal menanganinya telah gagal.
Hasrat mereka untuk menambahkan kebencian rakyat terutama penduduk Sabah kepada kerajaan bertukar sebaliknya. Natijahnya, kepercayaan dan sokongan rakyat mencanak naik, ditambah lagi selepas lawatan turun padang Perdana Menteri ke perbatasan, menjenguk sendiri kebajikan pasukan keselamatan.
Sempena lawatan itu, ketua-ketua masyarakat Suluk juga melafazkan ikrar jaminan untuk memberikan sokongan padu tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan bagi memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak, komuniti itu membuktikan bahawa mereka adalah warganegara Malaysia yang taat dan setia serta walau dengan apa cara sekali pun tidak akan menyokong pengganas itu.
Sekadar berkongsi sedikit maklumat, Sulu ialah sebuah wilayah di Selatan Filipina, penghuninya dikenali dengan Orang Tausug, manakala rakyat negeri ini yang berstatus warganegara Malaysia tetapi berasal dari rumpun sama dikenali dengan panggilan Suluk. Mereka berkongsi susur galur sama tetapi mempunyai budaya, pemikiran dan sosio budaya berlainan.
Kehadiran Najib meninjau Op Daulat di Felda Sahabat telah menyuntik semangat anggota keselamatan untuk terus berjuang dan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan BN.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga dengan penuh tenang, yakin dan tegas menjawab setiap tembakan peluru petugas media sama ada dari dalam atau luar negara, termasuk blogger yang suka menangguk di air yang keruh.
Semuanya jelas dan terang. Iltizam kerajaan untuk menjaga dan mempertahankan keselamatan rakyat serta kedaulatan Sabah akan terus dimartabatkan tanpa sebarang kompromi.
Najib bukan bermain wayang atau retorik tetapi disertai dengan komitmen jitu, buktinya adalah penubuhan Kawasan Keselamatan Khas (KKK) meliputi kawasan dari Kudat ke Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan pusat operasinya di Lahad Datu.
Kekuatan sebanyak lima batalion tambahan tentera dan polis juga akan ditempatkan di KKK itu bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara daripada dicerobohi oleh mana-mana pihak.
Sebagai reaksi segera, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memberikan mana-mana kawasan atau tanah yang difikirkan sesuai dan strategik bagi KKK itu.
Jangan fikirkan berapa kos atau nilai yang terpaksa ditanggung, apa yang penting ialah bagi memastikan tahap keselamatan terutama di kawasan pantai timur dan utara negeri sentiasa terpelihara.
Ini adalah komitmen kita sebagai menghargai kesungguhan Kerajaan Pusat memastikan keselamatan, kedaulatan dan keamanan negeri serta rakyat di seluruh pelosok negeri dapat terus dipertahankan," katanya semasa majlis santai bersama editor media Sabah, kelmarin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130311/re_05/Tian-Chua-dipelawa-ke-Lahad-Datu#ixzz2NJcwdhAK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan