Memiliki dua kerakyatan dengan dua kad pengenalan menjadi sumber rezeki kepada penyeludup petrol dan diesel untuk mengisi minyak tanpa had di Malaysia dan menjualnya di negara jiran kerana harganya yang lebih tinggi.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Supt Kamaruddin Yusof yang mendedahkan perkara itu berkata dalam beberapa kes pihaknya mendapati penyeludup semakin kerap menggunakan taktik itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan pemilik stesen minyak untuk pengisian kenderaan mereka.

"Ini kerana kerajaan menghadkan pembelian petrol atau diesel hanya 20 liter kepada kenderaan asing tetapi bukan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Kamaruddin berkata penyeludup itu juga mempunyai buku catatan sendiri untuk merekod jumlah isian minyak sebagai maklumat berapa nilai isian minyak serta keuntungan yang diperolehi.

Dalam kes terbaru semalam, seorang wanita berumur lingkungan 40-an dan dua lelaki berumur lingkungan 20-an ditahan pasukan PGA dalam dua serbuan berasingan kerana cuba menyeludup minyak.

"Ketiga-tiga mereka ditahan di kawasan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin kira-kira pukul 7.30 malam dan 8.30 malam," katanya.

Turut dirampas dua buah kenderaan iaitu jenis Toyota Hilux dan Honda Civic dari negara jiran yang turut diubahsuai untuk kegiatan berkenaan.

"Kita mendapati sebanyak 300 liter minyak petrol diisi dalam tangki Hilux dan 90 liter dalam tangki kereta Honda Civic dengan nilai keseluruhan kira-kira RM954 dan dipercayai mereka mengisi minyak di kawasan Pasir Mas," katanya.

Difahamkan wanita yang ditahan itu menggunakan kad pengenalan Malaysia untuk mengisi minyak dengan banyak.


BERNAMA