Selasa, Mei 03, 2011

AMK , ANWAR DAN SEMUA SUKUSAKAT PKR ! BERTAUBATLAH !

Pihak yang melakukan kekecohan di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul kelmarin diminta supaya bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan sedemikian bagi memelihara kesucian rumah Allah.

Pada masa sama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden berkenaan dan memastikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abd. Razak berkata, insiden Jumaat lalu itu sangat keterlaluan dan memalukan umat Islam apabila masjid tidak lagi dihormati hanya kerana kepentingan politik pihak tertentu.

"Jangan cemari tempat ibadah, itu adalah hak individu tersebut bagi membuat sumpah laknat. Lagipun, ia sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, jika tidak berpuas hati, mereka boleh membuat sumpah laknat sendiri di tempat lain.
"Bila di dalam masjid, lupakanlah perbezaan fahaman politik. Semua umat Islam adalah sama dengan satu kiblat yang sama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keadaan di dalam ruang solat Masjid Amru Al-As kelmarin yang menjadi lokasi ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat yang dicemari tindakan provokasi segelintir ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharum menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang menimbulkan kekecohan di dalam masjid tersebut.

"Tindakan provokasi segelintir ahli AMK dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghalang Shazryl Eskay melafazkan sumpah laknat dilihat kurang sopan dan bijak.
"Ia adalah hak individu atau kumpulan bagi membuktikan kebenaran dengan membuat sumpah laknat," ujarnya.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, insiden tersebut dengan sendirinya memperlihatkan pihak yang menimbulkan kekecohan itu tidak memperjuangkan keadilan seperti mana didakwa.

"Ia adalah hak Shazryl Eskay untuk membuat sumpah laknat. Buat apa nak kacau seperti ada sesuatu yang tidak kena dan menunjukkan lebih banyak andaian kepada pihak yang dituduh.
"Jika mereka mahu, buat sendiri sumpah laknat bagi membersihkan nama dan menafikannya. Saya juga minta agar parti atau pertubuhan Melayu lain tidak mengikut tingkah laku sedemikian," katanya.


UTUSAN

Tiada ulasan: